Cari Blog Ini

Rabu, 18 Februari 2009

PPH should read this

Majlis Harga Negara: Tingkatkan Keyakinan Pengguna
Mastura bt Mohd Zain
Pegawai Penyelidik

03/03/2008
Tidak lama dulu negara dilanda masalah kekurangan minyak masak. Di kebanyakan kedai mahupun pasaraya tiada minyak masak di rak, yang ada hanyalah makluman berkenaan ketiadaan bekalan beserta dengan maaf dari pembekal. Apa sudah jadi, ramai yang bertanya. Bukankah negara kita pengekspot minyak sawit terbesar dunia? Kekurangan bekalan minyak masak pada masa itu sedikit sebanyak telah menjejaskan perniagaan industri makanan sehinggakan terdapat restoran-restoran yang bercadang membatalkan beberapa sajian sekiranya masalah itu berterusan.

Menyedari betapa pentingnya masalah ini diatasi, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Majlis Harga Negara pada 9 Januari lepas. Tanggungjawab Majlis ini antara lain untuk memantau, menasihati dan menyelia dasar harga, struktur pasaran persaingan , kecekapan dalam skim subsidi serta pencegahan terhadap ketidakadilan bagi pihak kerajaan. Majlis ini juga akan bertanggungjawab membendung pakatan sulit perdagangan yang menjejaskan bekalan dan harga barang keperluan serta perkhidmatan.

Dengan itu, kewujudan Majlis Harga Negara adalah bagi memastikan harga barang keperluan dan kenaikannya sentiasa dibuat mengikut garis panduan kerajaan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan secara lebih berkesan. Sehubungan dengan penubuhan Majlis ini, tiga langkah telah diumumkan bagi menjamin kestabilan harga, kecekapan sistem bekalan dan pengedaran barangan pengguna. Langkah-langkah tersebut adalah mewujudkan Pusat Panggilan Kebangsaan, Stok Simpanan Kebangsaan dan kumpulan pakar bagi meneliti isu serta dasar berkaitan pengedaran, pengeluaran dan cara menentukan harga.

Pusat Panggilan Kebangsaan ini akan beroperasi 24 jam agar pengguna dapat membuat aduan berhubung masalah bekalan atau harga pelbagai barang keperluan supaya tindakan segera boleh diambil oleh unit penguat kuasa. Semua maklumat dan aduan yang diterima pusat panggilan itu disalurkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau kementerian lain yang berkaitan untuk tindakan susulan.

Sikap pengguna itu sendiri penting di sini. Sesiapa jua yang berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang keperluan atau masalah bekalan disarankan terus membuat aduan dan jangan tunggu orang lain. Aduan atau maklumat adalah penting kerana penguatkuasa mampu bertindak atas aduan pengguna. Tanpa aduan atau rungutan orang awam, pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan akan mengabaikan isu tersebut. Kita juga berharap akan sentiasa ada orang yang menjawab panggilan, serta tindakan susulan yang cepat dan memuaskan diambil oleh pihak yang berkenaan. Jangan sampai pengguna berputus asa terhadap keberkesanan pusat panggilan yang disediakan .

Stok simpanan pula bertujuan memastikan bekalan barangan sentiasa cukup dan harganya stabil. Antara barang yang akan dijadikan stok seperti beras, gula dan minyak masak. Menyimpan bahan makanan sebagai stok simpanan memerlukan pembinaan atau gudang penyimpanan. Ini tentu melibatkan perbelanjaan yang besar, jadi siapakah yang akan menanggung perbelanjaan itu, kerajaan atau syarikat pengimpot/pengeluar seperti Bernas? Pengalaman Lembaga Padi Negara(LPN) sebelum diambil alih PadiBeras Nasional Berhad(Bernas) pernah mewujudkan stok padi yang disimpan di gudang LPN di Kedah, yang akhirnya menjadi rosak dan berkulat. Ini bermakna kaedah menyimpan dan pengagihan barang ke pasaran perlu cekap bagi memastikan barang yang disimpan sentiasa selamat dimakan. Oleh itu beberapa pertimbangan perlu diambil kira sebelum melaksanakan Stok Simpanan Kebangsaan. Bagi beras, ciri seperti cuaca juga penting bagi musim penanaman padi, permintaan beras dunia dan sebagainya.

Stok Simpanan Kebangsaan akan memasukkan barang keperluan sahaja. Timbul persoalan samada pengwujudan stok simpanan itu akan menyebabkan kenaikan harga barang lain yang tidak termasuk dalam senarai stok simpanan. Juga terdapat kebimbangan samada tekanan inflasi akan bertambah berikutan permintaan meningkat bagi barang keperluan yang akan dibeli kerajaan dalam jumlah besar untuk dijadikan stok simpanan.

Masalah kekurangan bekalan juga mungkin bukan disebabkan bahan tidak mencukupi, tetapi kerana sikap peniaga yang rakus ingin mengaut keuntungan berlebihan. Berdasarkan laporan, terdapat penyalahgunaan minyak masak antara pihak industri yang sepatutnya membeli pada harga pasaran, dan pengguna isi rumah yang menikmati harga subsidi. Subsidi minyak masak contohnya, hanyalah bagi faedah mereka yang berpendapatan rendah/pengguna biasa, namun pengilang juga boleh mendapatkan bahan itu pada harga sama di pasar raya. Begitu juga dengan gas memasak. Di restoran-restoran mereka memakai tabung gas kecil yang harganya diberikan subsidi sedangkan mereka sepatutnya menggunakan tabung gas besar dengan harga industri. Jadi masalah pembelian barang subsidi dengan jumlah besar oleh pengilang/peniaga perlu ditangani terlebih dahulu sebelum melaksanakan stok simpanan.

Sebenarnya masalah peniaga tamak/rakus ini tidak pernah selesai. Bagi peniaga golongan Islam disaran agar jangan semata-mata mengejar keuntungan sehingga kebajikan pelanggan terabai. Jauhkan dari perbuatan menyorok barang, yakni ihtikar kerana menyorok adalah dilarang Rasulullah. Pengguna akan teraniaya apabila terpaksa membayar lebih untuk barang keperluan apabila terdapat kegiatan menyorok barang. Peniaga golongan Islam juga perlu jujur dan bercakap benar kerana peniaga yang jujur akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama para nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang yang soleh. Para peniaga sepatutnya merebut peluang untuk mendapat keistimewaan tersebut. Rasulullah juga mengingatkan peniaga yang tidak jujur akan dibangkitkan sebagai orang yang zalim.

Bercakap berkenaan kekurangan bekalan, perhatian juga perlu diberikan mengenai kedatangan rakyat dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang kerap datang dan membeli belah di sini. Rakyat Singapura, contohnya hanya perlu menyeberang ke Malaysia dan balik pada hari yang sama untuk mengisi tangki minyak kereta dan membeli barang keperluan yang lebih murah di sini. Mereka membawa balik barang-barang keperluan asas seperti gula dan tepung yang harganya telah disubsidikan, dan akhirnya kita kekurangan barang-barang keperluan tersebut.

Oleh itu pemeriksaan di sempadan seharusnya diperketatkan lagi untuk memastikan barang keperluan tidak dibawa keluar dari negara ini. Walaupun mungkin jumlah yang dibawa balik itu adalah sedikit, ia sepatutnya tidak dibenarkan kerana yang penting sekarang bekalan mencukupi untuk pengguna tempatan. Kekurangan barang keperluan seperti minyak masak baru-baru ini lebih dirasai di kawasan berhampiran sempadan negara jiran dengan jumlah permintaan meningkat berbanding biasa. Penguatkuasaan lebih ketat dan kerap penting untuk memastikan masalah tidak berterusan.

Akhirnya, penubuhan Majlis Harga Negara ini bukanlah jaminan bahawa harga barang akan turun kerana tujuan utamanya adalah memastikan bekalan mencukupi dan harga stabil bagi kepentingan pengguna. Cuma kita berharap selepas ini peniaga tidak akan mudah untuk menaikkan harga barang sewenang-wenangnya akibat tekanan dari pihak berkuasa. Peniaga golongan Islam diseru mencontohi Rasulullah sebagai saudagar sehingga baginda digelar Al-Amin, bermakna yang jujur/benar.

Notakaki: Syan, Oneminutesilent, Anis, etc - Thank you for your comments, I am aware what were you doing, i'm not saying ALL, but certain people do not get what i mean.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Do you want to comment or critic? Sure i don't mind. Thanx anyway...

Salam Kenal

Ramai yang baru menjadi rakan saya di muka buku sejak akhir-akhir ini. Jadi izinkan saya untuk perkenalkan diri. Hai, saya Syima atau senang...