Cari Blog Ini

Selasa, 1 Mei 2012

Surat buat bakal suamiku

Kepada bakal suami ku yang dicintai,

Kita bakal hidup bersama tidak lama lagi. Jadi, ada beberapa perkara yang aku harus perjelaskan kepada mu agar kau lebih memahami aku. Pertama sekali, aku bukanlah satu-satunya pilihan yang kamu ada. Aku tak pernah memandang diriku sebagai pilihan terbaik untuk dirimu. Yang aku tahu cuma satu. Aku akan berusaha memahami dirimu yang bakal ku kenali lebih dekat apabila hidup sebumbung nanti. Dan aku akan cuba menjadi isteri yang taat dan solehah di bawah bimbinganmu. Aku juga tahu kamu bukanlah yang paling sempurna dalam kalangan lelaki yang aku pernah kenali. Namun kau harus tahu mengapa dirimu yang aku pilih. Aku tidak mengangkat kamu sebagai yang terbaik semasa aku memilih. Sebaliknya, aku merasakan dirimu berpotensi untuk membimbing aku ke jalan yang lebih baik, dengan caramu melayan orang sekelilingmu, dan cara kamu berinteraksi dengan seluruh ahli keluargamu. Namun itu bukan bermakna aku menganggap kamu tidak akan berubah dan sentiasa baik di mataku. Tapi cukuplah dengan aku berdoa agar kamu sentiasa begitu, dan aku yakin ALLAH mendengar doa ku.
Bakal suamiku yang dikasihi,

Aku punya keluarga sebelum menikahi kamu, walaupun tak serapat mana ibu bapaku dan adik beradikku masih keluarga ku. Maka aku berharap akan kekal dapat berhubung dengan mereka sehingga mati. Aku harap kamu mengerti ikatan keluarga tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Janganlah disekat aku berjumpa dengan mereka, sebagaimana aku sentiasa memberi ruang untuk kamu dekat dengan keluargamu. Janganlah dizalimi aku dengan menggunakan kuasa vetomu untuk mengawal pergerakanku, sehingga aku tidak dibenarkan berjumpa ahli keluargaku.

Aku anak sulung yang yang menjadi harapan keluarga sebelum aku berjumpa dengan kamu, dan aku harap keadaan itu tidak akan berubah setelah aku jadi teman hidupmu. Sebagai wanita moden, aku tidak akan mengharapkan huluran wang berlebih-lebihan daripada mu kerana aku punya gaji hasil titik peluhku untuk aku berbelanja memanjakan diriku. Cukuplah nafkah sekadar cukup, tidak bermewah-mewah sehingga merosakkan diriku menjadi riak dan takbur. Maka aku harapkan kau juga bertolak ansur sekiranya aku memperuntukkan wang gajiku untuk ibu bapaku di kampung. Kita masing-masing punya tanggungjawab kepada ibubapa, walau tidak wajib bagiku sebagai anak perempuan, fahamilah niatku membantu ibubapaku, sebagaimana cita-citamu untuk memberi kehidupan senang kepada ibu bapamu.

Bakal suamiku yang budiman,

Perlengkaplah dirimu sepenuh-penuh ilmu agama dan ilmu dunia. Atau pun sama-sama kita nanti mempelajari dan mendalami ilmu ketuhanan dan kemanusiaan. Terlalu banyak kisah penceraian yang menakutkan aku yang berpunca dari salah faham, ungkit mengungkiti, kewangan dan faktor luaran yang lain. Sama-sama kita mengingati satu sama lain seandainya kita lupa dan lalai. Aku harap engkau akan menjadi suami bertanggungjawab dambaan semua gadis. Fikirkan baik buruk setiap tindakanmu. Sekiranya aku melihat sesuatu yang kurang enak, terimalah teguranku dengan hati terbuka. Begitu juga kamu, bila merasakan sesuatu yang kurang selesa maka tegurlah aku dengan cara yang baik, bukan menghina.

Andai ditakdirkan aku mengandungkan benihmu, janganlah engkau membebankan aku dengan perkara-perkara yang menjejaskan emosiku. Janganlah berkasar terhadap ku. Memang syurga isteri dibawah tapak kaki suami. Semua aturan yang ditetapkan oleh kamu wajib aku patuhi. Aku mohon supaya berpada-padalah dengan peraturan-peraturan tersebut. Pentingnya persefahaman dan perbincangan untuk menjamin masa depan keluarga kita.

Bakal pemimpinku sayang,

Poligami itu memang hak dirimu yang mutlak dan tiadalah kuasa aku menghalang hukum TUHAN. Namun sekiranya sampai keperluanmu berpoligami, berterus teranglah dengan diriku agar tidak aku terkejut dengan hasratmu. Aku memahami perihal keperluan lelaki sehingga dibenarkan nikah lebih daripada satu, dengan syarat berlaku adil. Adil itu bukan pada kamu yang mengadili, tapi kami para isteri yang diadili. Maka berlaku adillah semampu kamu, kerana aku percaya apabila timbul kemahuan itu, kamu sudah cukup muhasabah diri, menghakimi diri sendiri dengan kelayakanmu. Tidaklah sanggup aku melihat lelaki yang aku cintai berjalan dengan bahu senget sebelah di hari pengadilan nanti.

Akhir sekali, 
aku sedar akan perangaiku yang keras kepala dan mungkin akan sering bercanggah pendapat denganmu. Aku amat menghargai kesabaranmu bila setiap kali kita bertelagah, kamu masih terus menyayangi dan memaafkan ketelanjuranku berkata-kata. Antara kita memang akan terdapat banyak perbezaan, lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai jurang usia yang beza – samada kamu muda atau tua dari ku. Terima kasih juga buat kamu kerana masih mahu mengambil aku sebagai isteri. Namun janganlah kiranya kesabaran itu hilang selepas akad nikah kelak, kerana sejauh mana usia kita berbeza, selama itulah masa yang aku perlu untuk mencapai tahap kematanganmu.

Aku adalah rusukmu yang bengkok, maka luruskanlah aku dengan kasih sayang. Aku tidak diciptakan dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk dijunjung, tapi dekat dibahu untuk dilindung, dekat pula di hati untuk dikasihi. Maka kasihilah aku seadanya, selagi layak aku dikasihi. Bukan berlebihan sehingga tepu, bukan pula kurang sehingga layu.




credit;
ilham entri dari sumber.
copy sumber.
edited by me
picture.

1 ulasan:

  1. Assalam. Terima kasih atas penghargaan post ni :)

    Jenguk-jenguk lah blog saya

    http://maisarahatan.com/surat-untuk-bakal-suami/

    BalasPadam

Do you want to comment or critic? Sure i don't mind. Thanx anyway...

Salam Kenal

Ramai yang baru menjadi rakan saya di muka buku sejak akhir-akhir ini. Jadi izinkan saya untuk perkenalkan diri. Hai, saya Syima atau senang...